Anwar Ibrahim 2.0 1

Anwar Ibrahim membuat keputusan decisive dalam tahun 1981. Desas desus adalah beliau akan menyertai Pas. Dan presiden Pas ketika itu telah memberikan laluan. Semua pimpinan Abim dan Pkpim tahu gosip tersebut. Dan hampir kesemua meramalkan dan tidak sedikit yang mahukan Anwar mengambil alih pucuk pimpinan Pas. Dan saya yang ketika itu baru menjadi pemberita di harian National Echo (mendiang) turut berpandangan begitu. Boss saya ketika itu, Datuk Sophie (bapa kepada Nordin Sophie), memberitahu saya bahawa Anwar akan menyertai Umno. “Saya tidak percaya,” jawab saya kepada Datuk Sophie. Anggapan saya ketika itu, sebagai anak muda baru keluar ITM, adalah setiap pemimpin muda yang idealis tidak akan menyertai kerajaan. Kalau menyertai kerajaan ia telah dibeli. Anwar Ibrahim tidak boleh dibeli. Kalau dia ingin menyertai kerajaan dia telah menerima tawaran Tun Abdul Razak sebaik sahaja dia graduate dari Universiti Malaya.